Akhbar Independent melaporkan, penyiasat persendirian tersebut, Josef Resch berkata, beliau diupah oleh seorang pelanggan yang enggan dikenali untuk mencari maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat tersebut.
Beliau berkata, pelanggannya menawarkan hadiah bernilai AS$47 juta (RM175.78 juta) untuk mendapatkan maklumat berhubung tragedi yang menyaksiakn 298 penumpang dan anak kapal pesawat MH17 itu terbunuh.
“Orang yang namanya tidak didedahkan itu telah muncul dan memberikan maklumat berkenaan serta mengambil hadiah tersebut,’’ katanya kepada majalah Jerman, Capital.
Bagaimanapun, Resch enggan mendedahkan apakah maklumat itu dan siapakah pemberi maklumat tersebut.
Resch berkata, beliau juga tidak mengetahui identiti pelanggannya kerana segala pengurusan dilakukan melalui orang tengah dari Switzerland.
“Pelanggan saya telah mendapat semua maklumat yang mereka mahukan jadi kerja saya sudah selesai.
“Saya jangka sesuatu akan berlaku. Mereka yang mempunyai wang untuk mendapatkan maklumat selalunya tidak akan menyembunyikan maklumat tersebut,’’ katanya.
Bagaimanapun, Resch ketika ditemubual majalah Spiegel berkata, dia bimbang kejadian itu akan diuruskan secara tertutup.