Search This Blog

Thursday, June 4, 2015

Pencarian MH370 tidak diperluas



AFP - GAMBAR fail menunjukkan seorang anggota tentera laut Australia, William Sharkey menaiki sebuah bot ketika operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi pada April 2014.


SYDNEY – Usaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 tidak akan diteruskan di luar kawasan pencarian semasa kecuali terdapat petunjuk baharu, kata pegawai Australia semalam.
Pada April lalu, pihak berkuasa Australia mengumumkan zon pencari­an pesawat malang itu akan digandakan jika usa­ha yang dilakukan tidak membawa sebarang hasil.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penum­pang hilang pada 8 April 2014 semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Usaha tersebut menjadikan kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi yang dilakukan oleh tiga kapal pakar kepada 120,000 kilometer persegi.
“Jika tiada maklumat terkini yang boleh dipercayai sehingga membawa kepada pengenalpastian lokasi pesawat, pihak kerajaan bersetuju untuk tidak meluaskan lokasi pencarian,” menurut kenya­taan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).
Pencarian pesawat itu menjadi kompleks selepas Australia yang memberi tumpuan di kawasan 60,000 kilometer persegi di luar pantai barat negara tersebut gagal membuat sebarang penemuan.
Zon pencarian ditentukan berdasarkan analisis data isyarat satelit yang menunjukkan pesawat tersebut menjunam ke Lautan Hindi selepas membuat lencongan misteri.
“Lebih 50,000 kilometer persegi kawasan dasar laut telah dicari tanpa sebarang kesan menunjukkan kehadiran pesawat selain musim sejuk yang baru bermula dan cuaca buruk bakal melambatkan lagi operasi tersebut,” ujar kenyataan berkenaan.
Pencarian di laut dalam menggunakan peralatan sonar telah ditangguhkan kerana ombak tinggi yang mencecah 12 meter meskipun kapal-kapal pencari masih berada di lokasi.
“Operasi mencari tetap diteruskan ketika musim sejuk tetapi turut dijangkakan akan dihentikan buat sementara,” tambah kenyataan tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3c2VvJsoT 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment