REUTERS - SERPIHAN pesawat MH17 yang jatuh di perkampungan Rozsypne, wilayah Donetsk, Ukraine tahun lalu.
|
NEW YORK – Belanda, Malaysia dan tiga lagi negara mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan satu tribunal bagi mencari pihak yang bertanggungjawap menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 di Ukraine tahun lalu, kata seorang diplomat kanan kelmarin.
Malaysia dijangka mengemukakan satu draf resolusi kepada Majlis Keselamatan PBB bulan depan bagi pembentukan tribunal tersebut, ujar diplomat itu yang namanya enggan disiarkan.
“Mereka akan mencari persetujuan untuk menubuhkan sebuah tribunal PBB yang akan mencari pihak bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Rusia akan menyokong penubuhan tribunal khas tersebut selepas PBB mendakwa jenayah itu sebagai serius,” kata diplomat itu.
Kesemua 298 penumpang dan kru pesawat MH17 yang majoritinya warga Belanda terbunuh apabila pesawat tersebut ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu.
Kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine dipercayai telah menggunakan peluru berpandu yang dibekalkan Rusia bagi menembak jatuh pesawat tersebut.
Akibat kemarahan dunia, Majlis Keselamatan PBB tahun lalu telah menetapkan penjenayah kes tersebut akan dibawa ke muka pengadilan.
Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine yang menganggotai Pasukan Penyiasatan Bersama telah membuat pertemuan minggu lalu di New York bagi membincangkan cadangan membawa kes tersebut ke mahkamah antarabangsa.
Menurut diplomat itu, negara-negara tersebut sedar akan keperluan untuk mengelakkan kuasa veto Rusia.
Pesawat Boeing 777 berkenaan dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh dengan bangkai pesawat itu bertaburan di Donetsk, Ukraine. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0626&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3e7WwfZHG
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment