Nuar Ayam (kanan) dibawa keluar dari mahkamah selepas mendapat perintah reman oleh Mahkamah Majistret Bachok, Kelantan, semalam. Utusan/Wahidin Salim
PASIR MAS 25 Jun – Setelah beberapa bulan diburu, penjenayah paling dikehendaki polis, Nuar Ayam akhirnya berjaya ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Mewah, Kajang, Selangor semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pada pukul 1.50 pagi, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) menahan Nuar Ayam, 37, ketika sedang tidur di dalam rumah tersebut.
Kata beliau, dengan tertangkapnya suspek yang juga ketua kumpulan Nuar Ayam serta tiga ahli kumpulan itu sebelum ini, polis percaya geng samun berkenaan yang pernah bermaharajalela di sekitar negeri ini tumpas sepenuhnya.
“Suspek dikehendaki kerana terlibat dalam 23 kejadian jenayah di negeri ini yang terdiri daripada satu kes bunuh, 16 kes samun, empat kes pemerasan, satu kes rogol dan satu kes melepaskan tembakan.
“Kebanyakan kejadian berlaku di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai dan Pasir Puteh selain aktif melakukan jenayah di Shah Alam,” katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa di lapangan di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, di sini malam tadi.
Difahamkan, suspek juga menjadi dalang utama dalam kes rompakan bersenjata di sebuah kedai di Bachok sehingga mengorbankan pemiliknya, Mustaffar Sidek, 52, dan mencederakan anak perempuan mangsa, Ainul Wahida Mustaffar, 18, pada Februari lalu.
Dalam perkembangan sama, Mazlan memberitahu, susulan penangkapan suspek semalam pihaknya berjaya menemukan sepucuk pistol bersama tiga butir peluru yang disorok di sebuah rumah tidak bernombor di Besut, Terengganu.
“Barangan yang dirampas itu akan disiasat bagi mengenal pasti kemungkinan ia sama dengan pistol dan peluru yang digunakan suspek bagi melakukan rompakan sehingga menyebabkan kematian pemilik kedai menjual alat binaan berkenaan.
“Polis turut menangkap dua orang lelaki berusia 43 dan 47 tahun termasuk seorang bekas anggota polis. Kedua-dua mereka bekerja sebagai penternak lembu untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, kesemua mereka direman dan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Sementara itu, di Bachok, perintah tahanan reman terhadap Nuar Ayam dikeluarkan hari ini selepas suspek dibawa pulang ke Kelantan semalam.
Mahkamah Majistret Bachok membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung 23 kejadian jenayah di negeri ini.
Perintah reman yang bermula semalam sehingga 1 Julai dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Firdaus Zainal Abidin.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dengan tangan bergari tiba di mahkamah pada pukul 10.10 pagi dan meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira pukul 11.30 pagi selepas perintah tahanan reman dikeluarkan.
No comments:
Post a Comment