Malah wanita berkenaan turut mengheret seorang bayi berusia dua bulan untuk mengemis di kawasan berkenaan sebelum ditahan oleh Unit Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri dalam Op Mengemis semalam.
Menurut Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Yusri Hashim, pemeriksaan lanjut ke atas wanita berusia 43 tahun itu mendapati dia bukan Islam.
“PATI berkenaan mengenakan pakaian muslimah termasuk bertudung untuk mengemis bagi mendapat simpati orang ramai di bazar tersebut. Namun, pemeriksaan lanjut mendapati dia bukan beragama Islam.
“PATI warga Kemboja yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/1963 (Pindaan 2002),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, bertindak atas maklumat, Op Pelantar dan Op Mahir turut dijalankan di pusat memproses siput dan limbungan membaiki bot di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah dan sebuah kilang, Kawasan Perusahaan Mergong II dekat sini semalam.
“Operasi yang dijalankan bermula pukul 12.30 tengah hari membuat pemeriksaan ke atas 78 orang pelbagai warganegara termasuk warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan dalam Op Pelantar, pihak kami menangkap 16 PATI yang terdiri daripada empat lelaki, dua wanita serta dua kanak-kanak warga Thailand bersama enam lelaki, seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar,” katanya.
Sementara dalam Op Mahir, katanya, dua lelaki warga Nepal yang berusia 31 dan 40 tahun termasuk tiga lelaki warga tempatan juga ditangkap di tiga lokasi berlainan.
“Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/196363 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan tiga lelaki warga tempatan ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/1963(Pindaan 2002) kerana melindungi PATI,” katanya.