Search This Blog

Monday, June 22, 2015

Maritim Malaysia nafi angkara orang dalam


JUANI MUNIR ABU BAKAR  |  22 Jun 2015 1:32 AM



PUTRAJAYA 21 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa wujudnya penglibatan orang dalam berhubung kes rompakan kapal MT Orkim Harmony seperti dilaporkan portal Malay Mail Online hari ini.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar meminta semua pihak untuk memberi kerjasama dengan tidak me­nimbulkan sebarang andaian sehingga menjejaskan proses siasatan kes rompakan tersebut.
Katanya, memandangkan Ma­ritim Malaysia sedang menjalankan siasatan kes rompakan kapal tersebut, pihaknya akan mengambil tindakan segera jika wujud penglibatan oleh orang dalam.
“Sehingga kini, kami telah memulakan kes siasatan rompakan bersenjata itu terhadap vesel kapal MT Orkim Harmony.
“Sepanjang proses tersebut, pegawai forensik Maritim Malaysia telah memulakan kerja-kerja pengambilan bukti di atas MT Orkim Harmony tersebut manakala pasukan penyiasat mengambil ke­terangan saksi iaitu kesemua anak kapal,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.
Portal Malay Mail Online memetik kenyataan Maritim Malaysia bahawa kes rompakan MT Orkim Harmony didakwa didalangi oleh orang dalam sehingga menyebabkan lapan lanun bertindak merampas kapal membawa 6,000 metrik tan petrol RON95 bernilai RM21 juta.
Pada sama masa, Ahmad Puzi memberitahu, Maritim Malaysia telah memulakan proses ekstradisi untuk membawa pulang lapan suspek itu secepat mungkin setelah pihak berkuasa Vietnam mengesahkan mereka terlibat dalam kes rompakan tersebut.
Tambah beliau, Maritim Malaysia pernah mengendalikan proses siasatan dan pendakwaan kes rompakan kapal sebelum ini dan itu bukan merupakan perkara baharu bagi agensi tersebut.
“Kami telah me­ngendalikan lima kes rompakan bersenjata dengan sebanyak 40 individu telah dikenakan hukuman penjara,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Puzi memaklumkan, semua anak kapal MT Orkim Harmony sedang menjalani proses pemulihan trauma yang dijalankan oleh pihak Hospital Angkatan Tentera Malaysia dan Mercy Malaysia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/maritim-malaysia-nafi-angkara-orang-dalam-1.105852#sthash.5vXydWYO.dpuf

No comments:

Post a Comment