Ewon Ebin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, dua gegaran 4.3 pada skala Richter berlaku semalam manakala satu gegaran 4.5 pada skala Richter dikesan hari ini.
“Dua gempa susulan dengan kekuatan 4.3 berlaku pada pukul 9.12 malam dan 11.13 malam semalam manakala satu gegaran dengan 4.5 berlaku pada 1.45 petang ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Gempa bumi sederhana kuat iaitu 5.9 pada skala Richter telah mengejutkan Ranau pada 7.15 pagi semalam dan gegaran turut dirasai di beberapa tempat termasuk Kota Kinabalu.
Ewon yang juga merupakan Ahli Parlimen Ranau berkata, Jabatan Meteorologi telah menubuhkan bilik gerakan di pejabat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini.
“Orang ramai yang mahu mengetahui status gempa-gempa susulan yang berlaku boleh menghubungi 088-413690 dan 088-413691.
“Orang awam juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan daripada laman sesawang www.met.gov.my atau m.met.gov.my selain laman Facebook dan Twitter Jabatan Meteorologi,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi melaporkan, berlaku satu gegaran 3.3 pada skala Richter di Ranau pada pukul 7.57 malam.