BAGHDAD - IRAQ .  Sekurang-kurangnya lapan maut manakala 25 yang lain cedera dalam lima letupan bom berasingan dan kejadian tembakan di sekitar ibu negara, Iraq, kelmarin.
 
Sumber polis memberitahu, dua orang awam terbunuh dan lapan lagi cedera dalam serangan bom di kejiranan Sha'ab di utara Baghdad.
 
Di kejiranan Baiyaa, sebutir bom meletup berhampiran pusat pameran kereta meragut satu nyawa dan mencederakan tujuh lagi. Manakala di al-Mahmoudiyah, bom yang diletupkan di sekitar kejiranan itu membunuh seorang kanak-kanak dan mencederakan dua pejalan kaki.
 
Dua orang juga dilaporkan maut dan lima lagi cedera apabila bom yang diletakkan di dalam tong sampah di kawasan perindustrian Bismayah, meletup.
 
Sementara itu, seorang orang awam meninggal dunia selepas ditembak ketika memandu di kejiranan al-Baladiyat di timur Baghdad. Sebutir bom yang meletup berdekatan kolam ikan di bandar Madain turut mengorbankan satu nyawa dan mencederakan tiga yang lain.
 
Setakat ini, tiada individu atau kumpulan mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan. Bagaimanapun, pegawai Iraq mendakwa ia dilakukan kumpulan militan IS. - Press TV