KUALA KRAI - Sebuah keluarga yang sedang sibuk membuat persiapan kenduri kahwin di Pengkalan Chepa, dikejutkan dengan berita kuarters mereka di Dabong, di sini, terbakar, tengah hari kelmarin.

Mangsa, Hanapisah Ismail, 54, berkata, walaupun masih terkejut, namun dia bersyukur kerana semua barang persiapan untuk perkahwinan anak ketiganya itu sudah dibawa pulang ke Pengkalan Chepa.

“Saya kurang sihat sejak kebelakangan ini, kemudian dikejutkan pula dengan panggilan rakan setugas yang memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya yang juga kakitangan Majlis Daerah Dabong itu.

Ibu kepada lima anak itu berkata, disebabkan masalah kesihatan dan kesuntukan masa, dia tidak dapat ke Dabong untuk melihat keadaan kuartersnya yang musnah terbakar.

“Jarak dari Pengkalan Chepa ke Dabong juga jauh, lagipun kami sedang membuat persiapan kenduri esok (semalam),” katanya.

Hanapisah berkata, barang di kediamannya tidak banyak kerana sebahagiannya musnah ketika musibah banjir hujung tahun lalu.

Sementara itu, jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan kejadian sekitar jam 12.21 tengah hari.

Menurutnya, dua jentera dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan  ke tempat kejadian yang jaraknya lebih 90 kilometer.

“Tiba di tempat kejadian, kuarters separa siap tersebut musnah keseluruhan. Bomba mengambil masa 45 minit memadamkan sisa kebakaran.

“Anggaran awal kerugian sekitar RM46,500 termasuk sebuah motor milik mangsa turut musnah dalam kejadian itu. Punca dan nilai sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya.