Search This Blog

Monday, June 22, 2015

Kru MT Orkim Harmony dikuarantin

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM


Kapal MT Orkim Harmony berlabuh di Pelabuhan Kuantan semalam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk mengesan cap jari lanun yang merampas kapal berkenaan.


KUANTAN – Kesemua 22 kru kapal MT Orkim Harmony dikuarantin di Pelabuhan Kuantan di sini semalam bagi memboleh Unit Forensik Maritim Malaysia (APMM) menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Jurucakap APMM berkata, mereka dilarang untuk meninggalkan kapal kecuali mendapat keizinan daripada APMM dan syarikat pengurusan untuk sebarang kecemasan.
“Kita juga akan benarkan jika ada keluarga kru kapal yang hadir untuk berjumpa seketika. Bagaimanapun mereka perlu kembali ke kapal dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Tinjauan Kosmo! di sini semalam mendapati lokasi kapal yang membawa muatan minyak 6,000 tan metrik petrol itu telah dialihkan dari tempat berlabuh kelmarin bagi membolehkan kapal lain untuk singgah di situ.
Muka depan Kosmo! semalam melaporkan, kapal milik Syarikat Magna Meridian Sdn. Bhd. itu yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta selamat tiba di Pelabuhan Kuantan pada pukul 7.50 pagi semalam selepas hilang 11 Jun lalu.
Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid turut mengesahkan lapan lelaki disyaki lanun yang diberkas pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, kelmarin merupakan kumpulan yang merampas kapal MT Orkim Harmony.
Mengulas lanjut, jurucakap itu memberitahu, Unit Forensik APMM turut memfokuskan kepada usaha pencarian cap jari di kapal tersebut untuk mengesahkan kehadiran lapan lanun di kawasan kejadian.
“Usaha mencari cap jari bukannya mudah kerana keluasan kapal yang besar dan kita jangka proses ini mengambil masa lama.
“Kalau kita dapat mencari cap jari yang padan dengan lanun berkenaan, ia akan mengukuhkan lagi kes pendakwaan apabila kesemuanya dihadapkan ke mahkamah nanti,” katanya.
Kapal itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.
Namun, selepas tujuh hari dilarikan lanun, kapal berkenaan berjaya dikesan oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia di Teluk Siam berhampiran perairan Vietnam semalam pada pukul 6 petang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3dk2j9xSq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment