IPOH – Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia dalam keadaan tidak berpakaian di rumahnya di Taman Kinta Mas, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sejurus selepas menerima maklumat daripada orang awam, anggota dari Balai Polis Bercham bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, polis kemudiannya masuk ke dalam rumah tersebut bersama adik mangsa yang turut berada di tempat kejadian.

“Pemeriksaan yang dijalankan di dalam rumah itu menemui mayat seorang wanita berusia 66 tahun di atas katil dalam bilik tidur tanpa pakaian.

“Pembantu perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan ringkas, semalam.

Beliau berkata, ahli keluarga turut membantu polis dengan menunjukkan rekod perubatan dan pelbagai jenis ubat yang digunakan mangsa.

Jelasnya, menerusi siasatan, tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Pihak balai juga telah mengeluarkan permit kubur bagi memudahkan keluarga mangsa melakukan urusan pengkebumian,” katanya.

Sementara itu, saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dimaklumkan mengenai kematian mangsa oleh jiran berhampiran.

Menurutnya, jiran itu berasa pelik apabila mangsa tidak keluar rumah beberapa hari dan mereka dengan bantuan anggota Rela bertindak memanjat bahagian luar tingkat dua rumah mangsa untuk melihat keadaannya.

“Mereka melihat saudara saya dalam keadaan terbaring kaku di katil dan tidak berpakaian. Kemudian mereka terus menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Beberapa hari lalu saudara saya pernah memberitahu dia tidak sihat malah dia turut menghidap beberapa penyakit dan mengambil ubat setiap hari untuk menjaga kesihatannya,” katanya.

Dia berkata, keluarga mangsa membuat keputusan untuk tidak menghantar mayat mangsa ke hospital sebaliknya akan menjalankan urusan pengkebumian pada masa terdekat.