Nelly Murillo, 18, dan bayi lelakinya, Yudier Morena terselamat apabila pesawat Cessna 303 terhempas Sabtu lalu di kawasan hutan diantara Nuqui dan Quibdo di barat laut Colombia.
“Nelly dan anaknya telah dibawa oleh helikopter ke hospital berhampiran dan hanya mengalami kecederaan ringan,” kata Komander Tentera Udara Colombia di Jabatan Antioquia, Hector Carrascal.
Tambahnya, ibu muda itu hanya melecur sedikit, sementara ba­yinya langsung tidak cedera.
Namun, juruterbang, Kapten Carlos Mario Ceballos terkorban dan mayatnya ditemukan di dalam pesawat.
Carrascal berkata, kejadian itu merupakan satu keajaiban kerana kawasan tersebut sangat berbahaya dan sering berlaku kemalangan.
Abang Nelly, Carlos berkata, pesawat berkenaan yang membawa kelapa dan ikan, terhempas kira-kira 20 minit sejurus berlepas dari pekan Nuqui ke Quibdo, ibu negeri Choco.
“Adik saya berjaya membuka pintu pesawat ketika api marak. Dia berlari ke dalam hutan. Kemudian dia teringat tentang bayinya dan kembali ke pesawat yang sedang terbakar itu.
“Mereka selamat dengan minum air kelapa yang ada di dalam pesawat,” katanya.
Seramai 14 orang yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat di seluruh kawasan hutan tebal selama beberapa hari sebelum menemui Nelly dan anaknya.
Punca pesawat terhempas masih disiasat.