Namun, berbeza pula dengan seorang ibu beranak dua berusia 31 tahun yang menjadikan surau sebagai sasaran untuk mencuri beg tangan ketika orang ramai khusyuk menunaikan solat di surau pusat beli-belah AEON Seremban 2 dekat sini.
Bagaimanapun, aktiviti itu ternya­ta membawa padah selepas dia ditahan tiga hari kemudian oleh pihak polis yang menjejaki wanita berkenaan selain menemukan barangan yang dicurinya di su­rau berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun memberitahu, dalam kejadian yang berlaku pada 20 Jun kira-kira pukul 7.25 petang, mangsa bersama adiknya ingin bersembahyang Maghrib di surau berkenaan sebelum melihat suspek yang turut berada di situ.
“Sebaik selesai menunaikan solat Maghrib, mangsa bersama adiknya terkejut apabila mendapati beg tangan milik mereka lesap. Hasil daripada maklumat yang di­peroleh, kita telah berjaya menahan suspek 23 Jun lalu.
“Hasil siasatan, kita berjaya menemukan barangan yang dipercayai milik orang lain melibatkan kad pengenalan, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), le­sen memandu di tangan wanita berkenaan,” katanya dalam satu si­dang akhbar di sini hari ini.
Jelas beliau Muhamad Zaki, berdasarkan semakan rekod jenayah, wanita berkenaan memiliki lima kes lampau dan kesemua melibatkan kes mencuri di surau pasar raya di bandar ini dan Kuala Lumpur.
“Setakat ini apa yang dapat kita lihat sasarannya adalah menjadikan surau sebagai tempat untuk melakukan aktiviti mencuri,” kata­nya.
Menurutnya, suri rumah itu akan disiasat bagi mengenal pasti punca sebenar dia melakukan perbuatan tersebut. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri di dalam bangunan.