PASIR PUTEH - Selepas berjaya memusnahkan tiga kawasan yang dijadikan sarang penagihan dadah di Kampung Lembah di sini, dua minggu lalu, satu lagi sarang dadah  di kawasan sama diserbu, kelmarin.

Tindakan menerusi program My Beautiful Malaysia anjuran Agensi AndiDadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama beberapa agensi lain itu menjadikan kawasan itu sifar sarang dadah.

Ketua Pegawai AADK Pasir Puteh, Normazainy Mat Roni berkata, kesemua sarang dadah itu dibina di dalam kawasan semak dan agak tersembunyi bagi mengelak kegiatan dihidu pihak berkuasa.

“Penagih membina bangsal dan wakaf sebagai tempat mereka melepaskan gian kerana hasil serbuan kita menemui kesan penagihan seperti jarum suntikan.

“Kita menggerakkan operasi atau gotong-royong merobohkan sarang dadah dengan harapan kawasan ini bebas daripada aktiviti itu pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 100 sukarelawan daripada AADK, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), polis, Rela, bomba, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Iada Kemasin Semerak, Kada, Majlis Belia Jajahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan masyarakat menyertai gotong-royong itu.

Katanya, My Beautiful Malaysia diadakan di seluruh negara membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dalam beberapa aktiviti di mana agensi kerajaan dan masyarakat sama-sama menggembleng tenaga untuk menjayakannya.

Normazainy berkata, risikan awal dilakukan bagi mengesan sarang dadah sebelum membersihkan lokasi tersebut secara menyeluruh.

“Semerak merupakan kawasan berfokus kami, kita dapati terdapat banyak sarang dadah di daerah ini tapi kita memulakannya di Semerak,” katanya.

Menurutnya, komitmen tinggi semua yang terlibat dalam gotong-royong itu amat dihargai dan berharap nilai murni seperti itu berkekalan kerana ia memberi kebaikan kepada semua.

“Ini menunjukkan kesedaran tinggi masyarakat kita untuk sama-sama membantu usaha kerajaan memerangi dadah," katanya.