Saksi itu, Jasin Waisin, 25, berkata, kesemua mangsa dipercayai terjatuh pada ketinggian 400 meter dari kedudukan asal Via Ferrata pada pukul 5.30 petang.
Difahamkan, Via Ferrata berada di ketinggian 3,776 meter.
Menceritakan lebih lanjut, Jasin berkata, dia berasa amat pilu apabila melihat mayat-mayat berkenaan bergelimpangan antara satu sama lain.
“Malah badan mereka masih berpaut dengan tali Via Ferrata yang terputus dua akibat dihempap batu besar di Gunung Kinabalu.
“Saya bersama tiga rakan lain ingin membawa mayat itu turun namun keutamaan kami adalah para pendaki yang cedera,” katanya ketika ditemui di Timpohon Gate dekat sini hari ini.
Menurutnya, dia bersama tiga rakannya bagaimanapun berjaya membawa turun seorang kanak-kanak lelaki dipercayai murid Tanjong Katong Primary School, Singapura yang mengalami kecederaan parah.
Kata Jasin, kanak-kanak tersebut ditemui di kawasan lapang di Laban Rata.
“Operasi membawa kanak-kanak itu dilakukan secara berhati-hati selepas bantuan kecemasan diberikan oleh pasukan perubatan.
“Kami berjaya sampai ke Timpohon Gate dengan mengusungnya kira-kira pukul 8 malam tadi,” katanya.