Search This Blog

Thursday, June 11, 2015

Empat imigresen disiasat rasuah

Ipoh: Empat pegawai imigresen direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bagi melepaskan tahanan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Depoh Tahanan Imigresen Langkap dekat Teluk Intan.
Majistret Nurul Asyifa Redzuan membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman keempat-empat suspek itu hingga 15 Jun mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta SPRM 2009.
Seksyen itu menyatakan kesalahan rasuah membabitkan seseorang secara sendiri atau bersama orang lain meminta, menerima atau bersetuju menerima suapan sebagai dorongan atau upah berhubung perkara atau transaksi membabitkan badan awam.
Mengikut seksyen itu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
Empat suspek lelaki yang memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam diiringi polis dan pegawai SPRM.
Sumber SPRM berkata, keempat-empat suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi kelmarin di Depoh Tahanan Imigresen Langkap kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada tahanan di pusat berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati keempat-empat suspek dipercayai melakukan kegiatan itu sejak November tahun lalu dengan meminta dan menerima rasuah antara RM2,000 hingga RM3,000 daripada setiap tahanan.
Katanya, suspek dipercayai meminta serta menerima suapan daripada 10 tahanan membabitkan pelarian Myanmar, Rohingya, Iran serta Yaman dianggarkan bernilai kira-kira RM12,000.
“Kemungkinan ada orang tengah membantu urusan kemasukan wang kepada suspek dan ia mungkin dilakukan saudara-mara pelarian berkenaan, namun ia masih dalam siasatan SPRM,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:46 AM


DUA pegawai imigresen dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56883#sthash.69kbl5Rq.dpuf

No comments:

Post a Comment