ANGGOTA-ANGGOTA polis memeriksa kereta yang digunakan oleh dua penjenayah untuk melarikan diri setelah cuba menyamun seorang mangsa di Jalan Datuk Tawi Sli, di Kuching, Sarawak, semalam. IHSAN PDRM
KUCHING 9 Jun – Dua penjenayah yang masih dalam keadaan khayal gagal melarikan diri daripada peronda polis apabila kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabas masuk ke dalam longkang berhampiran Jalan Datuk Tawi Sli, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun dan wanita 24 tahun sebelum itu dikatakan cuba menyamun seorang lelaki di Jalan Satok menggunakan kereta bernombor pendaftaran palsu.
Bagaimanapun, mangsa sempat melarikan diri dan terserempak dengan peronda polis berhampiran kawasan kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Fauzilan Abdul Aziz berkata, bertindak atas maklumat itu, anggota peronda kemudian berusaha mengesan suspek dan terjumpa dengan kereta terlibat berhampiran Jalan Green sebelum mereka melarikan diri.
“Pihak peronda dengan bantuan empat buah kenderaan pelbagai guna (MPV) polis terpaksa mengejar kereta suspek.
“Apabila tiba di Jalan Datuk Tawi Sli, kereta dipandu suspek lelaki itu hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di tepi jalan dan menyebabkan kedua-dua mereka ditahan polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut dalam kereta berkenaan menemukan sebilah pedang samurai yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.
“Semakan mendapati lelaki itu mempunyai lima kes berkaitan dadah manakala perempuan pula dua kes dadah. Mereka direman selama dua hari bagi membantu siasatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment