Ketua Polis negeri, Datuk Rusli Ahmad berkata, penahanan kesemua suspek dibuat susulan kejadian kecurian kenderaan di sebuah pangsapuri, di sini pada 7.30 pagi, 23 Mei lalu.
“Polis menahan seorang wanita berusia 45 tahun di bawah blok di lokasi kejadian sebelum berjaya menahan dua lagi lelaki berusia 23 dan 52 tahun dalam tangkapan susulan.
“Dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas kereta Perodua Kancil yang dilaporkan hilang, tiga rangkai kunci kenderaan pelbagai jenis serta sekeping kad touch n go,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini kelmarin.
Turut dirampas, ujarnya ialah dua bilah keris pelbagai saiz, empat bilah pisau, dua kamera pelbagai jenama, dua bilah kapak, empat bilah parang panjang, sebuah teropong, sembilan telefon bimbit dan sebuah televi- syen.
“Kesemua barang yang dirampas disyaki adalah hasil kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan. Polis percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah dan curi kenderaan di daerah Johor Bahru Selatan,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Rusli berkata, semenjak 27 Mei hingga Selasa lalu, polis Johor berjaya menahan 354 orang terdiri daripada 37 pengedar dadah, memiliki dadah (74), penagih (232) dan tangkapan warga asing (11).
“Warga asing yang ditahan terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan dua warga Myanmar. Polis juga berjaya merampas dadah bernilai sebanyak RM55,597 dalam tempoh sama.
“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama masyarakat dengan polis dalam menangani kes pengedaran dadah di negeri ini,” katanya.