K. Selamparasan, 25, menunjukkan reaksi demikian di penghujung keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Noorin Badaruddin manakala nasib menyebelahi rakan lelaki itu, R. Ganesa, 30, apabila dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan kerana didapati tidak terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Seorang lagi tertuduh, R. Meganaathan, 25, yang merupakan adik kepada Ganesa meninggal dunia pada 14 Disember 2011 ketika kes masih dalam perbicaraan.
Ganesa yang bekerja sebagai jurukimpal diwakili peguam Charan Singh.
Noorin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Selamparasan setelah mendapati peguam bela, Ma­hinderjit Singh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Terdahulu, ketika membacakan keputusannya selama hampir dua jam, Noorin berkata, tertuduh dalam pembelaannya telah memberikan keterangan secara tidak konsisten selain berbeza dengan apa yang diberitahu oleh saksi-saksi pendakwaan.
“Meskipun berlaku beberapa percanggahan, namun saya dapati keterangan saksi ketujuh, kesembilan dan ke-10 yang berada di tempat kejadian sangat konsisten tentang penglibatan Meganaathan dan Selamparasan yang telah menetak mangsa, Abdul Rashid Ramesh Abdullah dekat parit serta mengejarnya ke kawasan semak.
“Pada masa itu mereka turut melihat kedua-dua tertuduh masih memegang parang selepas keluar dari semak berkenaan manakala Ganesa pula tidak memegang sebarang senjata.
“Ketiga-tiga saksi itu juga mendengar Ganesa berteriak ‘lepaskan, lepaskan, jangan tetak,’ kepada kedua-dua tertuduh sebaik sahaja mereka sampai di kawasan semak tersebut. Ini jelas menunjukkan Ganesa tidak terlibat dan tidak berniat melakukan perbuatan berkenaan,” kata beliau.
Menurut Noorin, selepas 10 minit ketiga-tiga tertuduh beredar, saksi tersebut yang telah pergi ke kawasan semak berkenaan mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr. Mohammad Shafie Othman mendapati mangsa telah mati akibat pendarahan berlebihan daripada empat luka tetakan iaitu di bahagian atas tepi kepala sebelah kiri, pangkal lengan kanan, siku kiri dan pergelangan tangan kiri selain dua luka hirisan,” kata Noorin.
Selamparasan, Ganesa dan Meganaathan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 12 November 2010 atas tuduhan membunuh Abdul Rashid Ramesh, 31, dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi setelah masing-masing mengaku tidak bersalah.
Mereka bertiga didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu di tepi parit hadapan kedai Perniagaan OM Interprise, No.5, Jalan Klebang Ria 3, Taman Klebang Ria, Chemor dekat sini di antara pukul 10.30 malam dan 11 malam, 21 Oktober 2010.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.