HULU LANGAT 9 Jun – Seorang lelaki berusia 48 tahun menerima padah apabila diheret ke balai untuk siasatan selepas memaki hamun seorang anggota polis trafik Jalan Bangi-Semenyih, Kajang di sini semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.45 petang semasa anggota trafik berusia 28 tahun bersama rakan setugas sedang menjalankan rondaan di sekitar kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, sebaik sahaja tiba di satu lampu isyarat, anggota trafik terlibat telah menahan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu suspek.
“Hasil pemeriksaan mendapati lampu brek pada kereta tidak berfungsi. Anggota trafik berkenaan kemudian mengeluarkan saman kepada lelaki itu.
“Namun, lelaki tersebut naik berang dan bertindak memaki hamun anggota trafik yang menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Ab. Rashid, lelaki tersebut dikesan mengeluarkan kata-kata kesat termasuk dalam bahasa Cina terhadap anggota polis terlibat.
“Tersentak dengan tindakan itu, polis trafik menahannya dan membawa ke balai untuk siasatan.
“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment