Search This Blog

Sunday, June 7, 2015

Belanda, Rusia mahu dalang tragedi MH17 dihukum


07 Jun 2015 12:07 AM
Bert Koenders
Sergey Lavrov



AMSTERDAM 6 Jun – Menteri Luar Belanda, Bert Koenders dan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergey Lavrov mengadakan perbincangan untuk melancarkan usaha memburu dan menghukum suspek yang terlibat dalam kes menembak jatuh pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada Julai tahun lalu.
Koenders berkata, secara dasarnya, Lavrov bersetuju dan menyokong resolusi yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru masyarakat dunia untuk membawa dalang tragedi tersebut ke muka pengadilan.
“Sudah menjadi tugas kepada kerajaan Belanda untuk melakukan apa saja bagi memastikan masyarakat dunia memberi perhatian kepada insiden MH17.
“Itu adalah kewajipan kami kepada mangsa dan ahli keluarga mereka,” kata Koenders dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Kementerian Luar Belanda.
Senada dengan Koenders, Lavrov mengulangi pendirian Moscow yang mahu siasatan secara bebas, komprehensif dan global dilaksanakan terhadap tragedi tersebut.
Pesawat MH17 yang membawa 298 krew dan penumpang, kebanyakannya rakyat Belanda, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan tersebut, menyebabkan Ukraine dan Rusia saling menyalahkan antara satu sama lain.
Kerajaan Belanda mengetuai siasatan kes itu dan berikrar untuk membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan walaupun kes berkenaan merupakan kali pertama berlaku dalam sejarah dan bakal memberi cabaran dari sudut undang-undang dan politik untuk membicarakan suspek.
Laporan penuh yang membongkar punca sebenar pesawat itu terhempas dijangka didedahkan pada Oktober ini oleh Lembaga Keselamatan Belanda. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/belanda-rusia-mahu-dalang-tragedi-mh17-dihukum-1.99857#sthash.0Dgu9kXm.dpuf

No comments:

Post a Comment