Search This Blog

Friday, June 26, 2015

Artis lapor polis gambar anak di laman lucah


26 Jun 2015 1:15 AM


KUALA LUMPUR 25 Jun – Penyanyi Tomok dan pengacara Harith Iskander membuat laporan polis hari ini terhadap penyalahgunaan gambar anak-anak mereka di sebuah laman lucah yang dipercayai bero­perasi di luar negara.
Harith ketika dihubungi berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, Damansara selepas mendapat tahu berita tersebut menerusi perisian Google Alert.
“Saya telah membuat satu laporan polis terhadap kes ini. Pada masa yang sama, saya juga menghantar aduan secara e-mel kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.
“Alhamdulillah, maklum balas daripada SKMM sangat pantas. Setelah mengenal pasti pangkalan laman tersebut, pihak SKMM telah membuat aduan agar pihak pengendali laman tersebut mengeluarkan gambar kanak-kanak yang terdapat di dalamnya,” jelas Harith kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, menurut pelawak tersebut, gambar anaknya serta anak selebriti lain dipercayai diguna secara rawak oleh pengendali laman tersebut untuk menarik minat pelayar internet di negara ini.
Katanya, disebabkan laman lucah bukan satu kesalahan di kebanyakan negara luar, namun penggunaan gambar kanak-kanak untuk tujuan tersebut melanggar undang-undang.
“SKMM juga menyekat laman tersebut di negara ini dan akan memastikan gambar kanak-kanak dibuang daripada laman berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, Tomok yang turut menjadi mangsa membuat aduan yang sama kepada SKMM dan berharap kejadian yang menimpa dua anaknya, Arrianshah Akid dan Andrashah Iman tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Ujar penyanyi itu, kejadian tersebut mengejutkannya sekeluarga dan mendorong beliau lebih berhati-hati memuat naik gambar anak-anaknya ke laman sosial yang memudahkan ia disalahguna.
“SKMM telah pun membuat penyiasatan dan cuba untuk menyelesaikan masalah ini. Saya percaya mereka mampu mengatasinya dan berdoa dihindarkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/artis-lapor-polis-gambar-anak-di-laman-lucah-1.107153#sthash.ENknBJbp.dpuf

No comments:

Post a Comment