Menurut sumber, ahli perniagaan itu tiada di rumah semasa kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu kerana pulang ke kampungnya di Melaka dan hanya menyedari perkara tersebut ketika sampai ke rumah pukul 8 pagi.
Ujarnya, peti besi milik ahli perniagaan berkenaan yang mengandungi wang tunai dan juga barang kemas telah dipecahkan dan kejadian itu tidak disedari jirannya kerana berlaku pada awal pagi.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam rumah berkenaan turut dilarikan suspek yang terlibat,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintenden Mak Pak Chuai ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ahli perniagaan terbabit pulang ke kampung sejak 19 Jun lalu dan balik ke rumahnya di Presint 10, pagi ini.
“Sebaik tiba ahli perniagaan terbabit mendapati rumahnya telah dipecah masuk dan wang tunai serta barang kemas yang disimpan di dalam peti besi telah hilang.
“Kita akan menyiasat kes ini secara menyeluruh dan difahamkan sepanjang ahli perniagaan berkenaan tiada di rumah hanya orang gajinya yang menguruskan rumah berkenaan,” katanya.
Pak Chuai menambah, sehingga kini jumlah kerugian masih belum dipastikan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penduduk Presint 10, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, kes kecurian dan pecah rumah di Presint 10 semakin kerap berlaku sehingga menimbulkan perasaan takut dalam kalangan penduduk.
“Dahulunya Presint 10 merupakan kawasan paling selamat di Putrajaya kerana terletaknya kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga menteri-menteri, namun kini keadaan di sini menjadi tidak selamat.
“Banyak kejadian kecurian dan pecah rumah berlaku, kami berharap pihak berkuasa membuat sesuatu termasuk dengan mewujudkan pondok pengawal untuk masuk ke Presint 10 bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.
Selain itu katanya, pihak polis juga perlu membuat rondaan lebih kerap ke kawasan ini, rondaan tidak perlu menggunakan kereta peronda polis sebaliknya menggunakan motosikal.
“Penduduk di Presint 10 juga perlu memainkan peranan bagi mengelak kejadian sama berulang seperti memaklumkan kepada polis sekiranya tiada di rumah dan membuat laporan sekiranya ternampak individu yang mencurigakan di kawasan kediaman," katanya.