Lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an dan hanya dikenali sebagai Zhang itu, nyata tidak berpuas hati dengan lapan calon yang disediakan agensi beribu pejabat di Shanghai tersebut yang mengaturkan sesi janji temunya dengan gadis yang dipilih menerusi uji bakat di seluruh negara.
Sebuah mahkamah pada Khamis lalu memutuskan, agensi temu jodoh itu perlu membayar sejumlah empat juta yuan (RM2.4 juta) sebagai pampasan kepada ahli perniagaan tersebut, lapor People’s Daily Online yang dipetik portal Mail Online.
Bakal-bakal calon akan ditemuduga oleh kaunselor perkahwinan dan ahli psikologi yang dilantik syarikat itu di tiga buah bandar raya dan iklan tentang calon-calon berkenaan akan disiarkan di dalam akhbar, Internet dan televisyen, sebagai sebahagian daripada kontrak yang ditandatangani antara Zhang dan agensi yang tidak dinyatakan tersebut.
Zhang dilapor mencari wanita yang masih ‘dara dan comel’ berumur antara 20 dan 28 tahun dan mempunyai ketinggian antara 1.6 meter dan 1.7 meter.
Syarikat itu menjelaskan bahawa pihaknya akan memulangkan sebahagian daripada wang berkenaan sekiranya mereka gagal mencari teman wanita yang dikehendaki ahli perniagaan tersebut selepas tempoh dua tahun.
Bagaimanapun, Zhang menuntut bayaran balik dalam jumlah penuh dan mendakwa syarikat itu di mahkamah pada tahun lalu selepas agensi terbabit gagal mencari gadis pilihan hatinya.
Mahkamah pada awalnya memutuskan Zhang hanya layak menerima bayaran balik sebanyak 1.3 juta yuan (RM788,647) sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak itu, namun dia berjaya dalam rayuannya untuk mendapat pampasan yang lebih banyak.