Menurutnya, selama ini kedua-dua mereka, Zulizan, 32, dan Mohd. Allif, 26, tidak pernah bertengkar sebegitu serius hingga menggunakan senjata tajam.
“Saya tidak sangka kejadian sebegini boleh berlaku. Mereka sebelum ini tidak pernah bertengkar teruk seperti ini.
“Saya yakin Mohd. Allif tiada niat untuk membunuh,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, akibat ditegur kerana tidak berpuasa, Zulizan nekad bergaduh dengan Mohd. Aliff sehingga mengakibatkan dia sendiri terkorban dalam kejadian di rumah mereka di Batu 8, Sijangkang, Telok Panglima Garang di sini.
Muhammad Idris menambah, sebelum kejadian dia keluar untuk membeli juadah berbuka puasa di kedai berdekatan.
“Mohd. Allif yang baru pulang daripada bekerja telah memberi wang kepada saya untuk membeli makanan supaya kami bertiga dapat berbuka puasa.
“Saya keluar untuk membeli makanan kira-kira pukul 6 petang. Sebelum saya keluar mereka tidak bergaduh. Selepas setengah jam pulang, saya dapati Zulizan telah terbaring dengan kesan luka pada lehernya.
“Zulizan kemudian mengajak kawannya yang kebetulan berada di rumah untuk membawanya ke hospital,” jelasnya.
Katanya, dia tidak mengetahui punca sebenar pergaduhan kerana tidak tinggal bersama mereka.
Muhammad Idris menambah, dia tinggal di Kampung Delek di sini manakala kedua-dua ibu bapa mereka sudah meninggal dunia.
Jelasnya, Zulizan dan Muhd. Aliff tinggal di rumah tersebut bersama seorang lagi abang tetapi jarang pulang kerana sering ke luar daerah dengan bekerja sebagai pemandu lori.