Search This Blog

Sunday, June 7, 2015

68 pendatang ditemui dalam kontena di Britain


LONDON – Perkhidmatan kecemasan Britain semalam menyatakan pihaknya telah menemui seramai 68 pendatang asing yang dikunci di dalam kontena di sebuah pelabuhan di tenggara England termasuk dua wanita hamil.
Seramai tujuh orang termasuk dua wanita berkenaan dibawa ke hospital tetapi keadaan mereka tidak serius, menurut kenyataan Perkhidmatan Ambulans England Timur.
Perkhidmatan kecemasan itu dipanggil ke Pelabuhan Antarabangsa Harwich yang menempatkan feri ke Belanda sejurus selepas pukul 10 malam (waktu tempatan) petang kelmarin.
“Sejumlah 68 pendatang ditemui di dalam kontena itu dengan tujuh dibawa ke Hospital Besar Colchester untuk rawatan dan penilaian lanjut,” kata perkhidmatan ambulans berkenaan.
“Pesakit-pesakit yang dibawa ke hospital mengalami sakit di perut dan dada serta berasa hendak pitam. Keadaan mereka bagaimanapun tidak serius,” tambahnya.
Menurut perkhidmatan itu, baki 61 orang lagi diserahkan kepada anggota-anggota Agensi Sempadan United Kingdom.
Menurut seorang jurucakap perkhidmatan ambulans itu, kontena tersebut dipercayai tiba dari Belanda, manakala mereka yang berada di dalamnya berbeza kewarganegaraan.
Beribu-ribu pendatang masuk secara haram ke Britain pada setiap tahun dengan lori dari pelabuhan Calais di Perancis menuju ke Dover di selatan England. Namun, pe­nemuan imigran di dalam kontena kapal jarang berlaku. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3cMhVj2dL 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment