Pengarah SPRM negeri, Datuk Hishammuddin Hashim berkata, kesemua mereka yang berusia antara 45 dan 65 tahun itu ditahan dalam beberapa operasi khas bagi membantu siasatan kes ber­kenaan.
Menurutnya, pembongkaran sin­­diket itu dibuat selepas suspek ditahan kerana didapati memiliki dokumen palsu Sijil Anak Negeri Sabah, kira-kira 300 geran tanah dan akaun simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
“Fokus kita adalah pada pemilikan sijil palsu itu sehingga membolehkan mereka membeli atau menjual tanah selain memiliki akaun ASB.
“Kita percaya suspek memiliki sijil palsu ini daripada sindiket tertentu sejak awal tahun 1980-an,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kegiatan pemilikan sijil palsu tersebut terbongkar apabila seorang individu bukan bumiputera Sabah menggunakan Sijil Anak Negeri untuk membuat tawaran dan memenangi plot tanah seluar 1.61 hektar berharga RM1.7 juta dalam lelongan awam di Tawau sebelum menjualnya semula dengan harga tinggi, baru-baru ini.
Difahamkan, kesemua mereka ditahan di beberapa daerah antaranya Kota Kinabalu, Tawau, Keni­ngau dan Semporna.
Hishammuddin menambah, ke­semua suspek ditahan di rumah masing-masing dan dibawa ke pejabat SPRM di sini sebelum dibebaskan selepas dirakam percakapan.
Kata beliau, kesemua mereka mengaku mendapatkan sijil tersebut melalui cara yang tidak sah.
“Ciri-ciri dokumen palsu itu adalah meletakkan cop pengesahan di tempat yang tidak sepatutnya; tandatangan OKK (Orang Kaya-Kaya Kampung) tidak sama selain warna sijil berbeza daripada yang asal,” katanya.
Menurut beliau, siasatan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Mahkamah Anak Negeri turut mendapati kesemua mereka adalah rakyat tempatan yang bukan bumiputera.
Malah, ujarnya, Mahkamah Anak Negeri juga menafikan pernah memproses permohonan sijil ber­kenaan.