Ketiga-tiga penjenayah sebelum itu cuba memecah masuk sebuah rumah dengan memanjat pagar kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, namun tidak berjaya berikutan penggera kediaman terbabit berbunyi lalu mereka melarikan diri.
Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah bergegas ke lokasi bagi mengesan suspek.
Kira-kira dua jam kemudian, pasukan polis terserempak de­ngan penjenayah tersebut dan cuba menahan ketiga-tiganya tetapi mereka melarikan diri.
Semasa melarikan diri, penjenayah berpecah kepada dua kumpulan. Dua suspek bertindak ganas dengan menyerang polis menggunakan dua bilah parang, manakala seorang lagi mengeluarkan senjata menyerupai pistol.
Bagi mempertahankan diri, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan ketiga-tiga suspek mati di tempat kejadian.
Hasil pemeriksaan ke atas penjenayah yang berusia dalam lingkungan 30-an dan tiada dokumen pengenalan diri itu, polis menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk me­nyamun.
Antaranya sepucuk pistol galas bebola, dua bilah parang, tiga penutup muka, tiga pasang sarung tangan, pemutar skru, alat pemotong , playar dan satu beg galas.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, pihaknya percaya suspek adalah kumpulan penjenayah yang aktif melakukan samun di bandar raya ini terutama di Bukit Jelutong.
“Identiti suspek bagaimanapun masih tidak diketahui kerana tiada sebarang dokumen ditemukan dan unit forensik masih menyiasat,” katanya di sini.
Pada perkembangan lain, beliau memberitahu, setakat Januari lalu sehingga semalam, sebanyak 72 kes samun direkodkan di seluruh Selangor dengan 20 kes daripadanya berlaku di Shah Alam.
“Daripada 20 kes samun di Shah Alam, 17 kes berlaku di Bukit Jelutong dan senario ini menyebabkan pihak polis telah menggerakkan pasukan untuk membuat sekatan jalan serta pengawasan rumah di kawasan itu,” ujarnya.