Search This Blog

Monday, June 22, 2015

3 kes baharu MERS-Cov di Korea


22 Jun 2015 12:24 AM



SEOUL 21 Jun – Tiga kes baharu jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-Cov) dicatatkan di Korea Selatan hari ini, ketika penguatkuasa kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penyebaran wabak maut itu yang semakin berkura­ngan sejak beberapa hari lalu.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan, dua staf perubatan merupakan antara mangsa yang disahkan terkena jangkitan virus MERS-Cov, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit terbabit kini meningkat kepada 169 orang.
Seorang daripada mangsa itu merupakan seorang doktor yang merawat pesakit MERS-Cov di Pusat Perubatan Samsung di Seoul, lokasi utama penyebaran wabak berbahaya itu yang menyaksikan lebih 80 orang terkena jangkitan.
Jelas laporan berkenaan, seramai 49 orang telah dibenarkan keluar dari hospital sejak tiga hari lalu, tetapi 14 orang masih berada dalam keadaan kritikal.
Tiga kes baharu tersebut dicatatkan hanya sehari selepas Korea Selatan tidak mencatatkan sebarang kes baharu, sekali gus meningkatkan harapan pihak berkuasa negara ini berjaya mengekang penyebaran wabak itu secara berkesan.
Jumlah mangsa yang dikuarantin di pusat-pusat khas atau di rumah-rumah juga menurun kepada 4,035 orang, semalam berbanding 6,700 orang pada Rabu lalu.
Kebanyakan sekolah juga telah dibuka pada minggu lalu, terutamanya di Seoul, wilayah Gyeonggi dan Busan, bandar kedua terbesar di Korea Selatan.
Kes penyebaran wabak MERS-Cov di Korea Selatan mencetuskan kebimbangan di rantau Asia, selepas Thailand menjadi negara terbaharu melaporkan kes pertama wabak berkenaan pada Khamis lalu, manakala Hong Kong menasihati rakyatnya agar tidak berkunjung ke Korea Selatan jika tiada urusan penting. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/3-kes-baharu-mers-cov-di-korea-1.105655#sthash.f9DqdInc.dpuf

No comments:

Post a Comment