Letupan berkenaan dipercayai berlaku ruang tangki minyak feri milik syarikat Wahana Gili Ocean yang membawa 129 penumpang, kebanyakannya pelancong asing termasuk dari Australia, Perancis, Itali, Amerika Syarikat (AS), Britain dan New Zealand.
Bot itu telah belayar kira-kira satu pertiga perjalanan ke pulau Bali dari Senggigi di Lombok sebelum letupan berlaku petang semalam.
Menurut pegawai perubatan Hospital Nusa Tenggara Barat, Oxy Cahyo Wahyuni, seramai 25 penumpang hanya mengalami luka kecil akibat kejadian itu.
“Tiada mangsa yang mengalami kecederaan serius,” katanya.
Pegawai polis tempatan, Khoirul Anwar dalam kenyataannya berkata, dua letupan tersebut berlaku selepas 30 minit feri itu memulakan pelayaran, menyebabkan tingkap pecah dan serpihannya mengenai penumpang.
“Siasatan awal mendapati letupan itu berlaku di ruang tangki minyak, tetapi kami masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.
Seorang kakitangan syarikat Wahana Gili Ocean yang hanya dikenali sebagai Ismail, menyifatkan keadaan dalam feri itu sebagai teruk selepas letupan berlaku.
“Kawasan penumpang bersepah dengan keadaan kerusi yang terbalik dan serpihan kaca di merata tempat,” katanya. – AFP