Kejadian pukul 5.20 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah teksi Proton Saga yang dipandu Zainuddin Md. Rais, 70, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal yang dinaiki Ramlan Kassan, 46, dan anaknya, Mohammad Syawal berusia 19 tahun.
Zainuddin dan Ramlan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohammad Syawal mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohammad Laham berkata, motosikal yang dinaiki dua anak-beranak itu dalam perjalanan ke rumah mereka di bandar ini tidak sempat mengelak teksi tersebut.
“Motosikal Yamaha Lagenda yang dinaiki mereka merempuh bahagian kiri teksi tersebut sebelum sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Sri Lalang melanggar pula bahagian belakang motosikal itu,” katanya di sini hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk bedah siasat sementara Mohammad Syawal turut menerima rawatan di hospital sama.
Mohammad memberitahu, Perodua Myvi yang dinaiki tiga sekeluarga remuk di bahagian hadapan, namun hanya seorang daripada penumpangnya mengalami cedera ringan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu teksi. Namun siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.