Dalam operasi kira-kira pukul 9 malam itu, mereka yang berusia 15 hingga 18 tahun ditahan dan sebanyak 18 saman melibatkan 257 kesalahan dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abd. Rahim Abdullah memberitahu, operasi itu disertai lima anggota polis trafik dan 16 anggota sukarelawan polis diketuai Pegawai Penguat Kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Inspektor Mohd. Juhaisam Jusoh.
“Operasi ini adalah berdasarkan maklumat awam mengenai segelintir remaja berlumba motosikal ketika jemaah sedang menunaikan solat tarawih di masjid.
“Hasil operasi, 17 remaja ditahan dan sebanyak 18 saman melibatkan 257 kesalahan telah dikeluarkan dengan kebanyakan kesalahan adalah tiada lesen dan kenderaan tiada cukai jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abd. Rahim berkata, kesemua remaja yang ditahan dibebaskan setelah saman dikeluarkan kira-kira pukul 2 pagi hari ini.
“Difahamkan, ada beberapa remaja yang ditahan memakai baju Melayu dipercayai memberitahu keluarga mahu ke masjid untuk solat tarawih namun berlumba bersama rakan sekampung,” katanya.