Pegawai Pemerintahnya, Asis­ten Superintenden Mohd. Nawi Yunus berkata, serbuan kira-kira pukul 5.50 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor yang bertindak atas maklumat Unit Risikan Marin.
Menurutnya, ketika intipan tersebut dijalankan, anggota PPM melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah bungkusan dari sebuah bot enjin galah ke tebing pangkalan haram tersebut.
“Sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota PPM, kesemua suspek bertindak melompat ke dalam bot dan melarikan diri ke arah sempadan Thailand.
“Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan membawa kepada penemuan 34 bungkusan yang mengandungi kain tudung dipercayai telah diseludup masuk dari Thailand ke negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Nawi memberitahu, siasatan awal mendapati tudung yang dibawa masuk itu untuk pasaran luar Kelantan menjelang sambutan Aidilfitri.
Katanya, permintaan tinggi di pasaran menyebabkan penyeludup mengambil kesempatan membawa masuk barang ini dengan cara tidak sah.
“Kesemua barang ini akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Pengkalan Kubor Bahagian Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.