Search This Blog

Friday, May 15, 2015

Waris berang kebakaran kilang di Filipina ragut 72 nyawa


ANGGOTA polis forensik berdiri berdekatan mayat-mayat yang dikeluarkan dari kawasan kebakaran di sebuah kilang selipar di Bandar Valenzuela, Manila semalam.


MANILA – Seramai 72 orang disahkan terkorban dalam kebakaran besar di sebuah kilang selipar di ibu kota Filipina, kata pihak berkuasa semalam sekali gus membangkitkan kemarahan waris mangsa dan pekerjanya.
Waris berkata, majikan gagal menyediakan persekitaran kerja yang baik dan tidak mempunyai sistem keselamatan kebakaran.
Berpuluh-puluh mayat dikeluarkan daripada runtuhan kilang dua tingkat itu semalam, sehari selepas kebakaran menyebabkan ramai pekerja terperangkap ekoran kekurangan pintu keselamatan dan ketiadaan latihan kecemasan.
“Banyak mayat hanya tinggal tengkorak dan tulang,” kata ketua polis Filipina, Leonardo Espina dalam satu sidang akhbar yang penuh emosi.
“Walaupun kebakaran itu satu kemalangan, ramai orang mati. Kami sedang menyiasat untuk mengetahui dengan jelas apa yang berlaku. Pastinya, seseorang akan didakwa,” kata Espina.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada percikan api peralatan kimpalan yang menyambar bahan kimia mudah terbakar di sebelahnya. Ketika kejadian, mesin kimpalan itu digunakan untuk membaiki sebuah pagar patah.
Bangunan itu merupakan antara deretan kilang di daerah Valenzuela, utara pinggir bandar raya Manila. Kilang itu membuat selipar murah dan sandal untuk pasaran tempatan.
“Selipar dan sandal ini mempunyai nama seperti Havana yang menyerupai jenama global terkenal,” kata beberapa pekerja kilang itu.
Menurut waris dan mang­sa terselamat pula, pekerja kilang itu bekerja dengan bayaran bawah gaji minimum serta dikelilingi bahan kimia berbau busuk.
“Para pekerja tidak tahu tentang sistem keselamatan kebakaran. Kami tidak akan melupakan apa yang berlaku,” kata seorang waris mangsa, Rodrigo Nabor. Dia kehila­ngan dua saudara perempu­annya dalam kebakaran itu.
Menurutnya, pekerja kilang itu dibayar bergantung kepada bilangan selipar yang di­siapkan, manakala gaji mereka serendah 300 peso (RM24) sehari. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3a9aZtWeX 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment