BALI - INDONESIA. Seorang warganegara Britain mula menulis surat kepada ahli keluarga terdekat sebagai persediaan untuk hukuman mati atas tuduhan menyeludup dadah.

Berdasarkan laporan Yahoo News, Lindsay June Sandiford, 58, percaya beliau akan dihukum mati pada bila-bila masa.

"Saya mungkin akan dikeluarkan dari penjara esok (untuk dijatuhi hukuman).

"Saya mula menulis surat selamat tinggal kepada ahli keluarga saya," lapor akhbar Britain, The Mail.

Sandiford juga merancang untuk menyanyikan lagu "Magic Moments" ketika berhadapan skuad penembak nanti.

"Saya tidak akan memakai penutup mata, bukan kerana saya berani, tapi kerana saya tidak mahu bersembunyi.

“Saya mahu mereka memandang saya ketika mereka menjalankan hukuman itu," luah Sandiford.

Sandiford dijatuhkan hukuman mati pada 2013 selepas didapati bersalah menyeludup dadah. Polis menemui kokain yang dianggarkan bernilai AS$2.4 juta (RM8,625,120) di dalam bagasi miliknya.

Dia dilaporkan mengaku menyeludup dadah tersebut dengan alasan dipaksa sebuah sindiket dadah yang mengugut untuk membunuh anaknya.

Minggu lepas, seramai tujuh orang warganegara asing dihukum mati atas kesalahan sama di Indonesia.

Difahamkan baru-baru ini, keluarga Sandiford mula mengumpul dana untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Indonesia.

Jika rayuan tersebut gagal, Sandiford masih mempunyai pilihan untuk memohon belas ihsan Presiden Indonesia, Joko Widodo.