Tetapi berbeza dengan seorang ibu di Amerika Syarikat (AS) yang mengambil pendekatan lebih ekstrem apabila menghubungi pihak polis untuk menahan seorang anaknya yang berusia 10 tahun kerana nakal.
Menurut laporan portal Mirror, kejadian tersebut berlaku di Colombus dekat Ohio apabila wanita berkenaan, Chiquita Hill berkomplot dengan beberapa anggota polis untuk menakutkan anaknya, Sean yang bersikap biadap terhadap guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah.
Hill berkata, dia bertindak sedemikian kerana marah terhadap anak lelakinya itu yang sering tidak menghormati guru di sekolah.
Menurutnya, pada mulanya Sean tidak percaya polis akan menahannya sehinggalah pihak berkuasa itu tiba di rumahnya lalu menahannya.
“Semuanya berlaku dengan pantas. Anggota polis menggari tangan Sean dan membawanya ke kereta peronda, menyebabkan anak saya menangis ketakutan.
“Kemudian, seorang daripada anggota polis membuka gari di tangan Sean dan dia terus berlari ke arah saya dan memeluk saya sambil meminta maaf,” kata Hill.
Wanita berusia 33 tahun itu turut memuat naik gambar kejadian berkenaan melalui laman sosial Facebook dan mengundang pelbagai reaksi termasuk mengutuk tindakannya yang dianggap kejam.
Tetapi Hill mempertahankan tindakannya dengan alasan mahu memberi pengajaran berguna kepada Sean.