SHAH ALAM – Seorang VIP bergelar Datuk dilaporkan maut di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur selepas kediamannya terbakar, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mangsa, Datuk Dr Muhamad Ali Mahfuz Ali, 88, ditemui di bahagian tepi ruang tamu oleh anggota polis pencegahan jenayah (RCJ) yang kebetulan lalu di lokasi kejadian.

Menurut sumber, apabila sampai di tempat kejadian, anggota RCJ telah memotong kunci mangga pada gril pintu hadapan dan selepas pintu dibuka dapati berlaku kebakaran pada bahagian tepi ruang tamu di mana mangsa turut terbakar bersama.

Isteri mangsa yang berada di tepi pintu utama rumah telah berjaya dibawa keluar.

Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk urusan bedah siasat.