Rahmat Othman
Rahmat Othman
Dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari itu, suspek berusia 44 tahun ditahan di bilik tidurnya ketika sedang leka menghisap dadah dan pemeriksaan lanjut mene­mukan sebuah beg kain kecil me­ngandungi peket lut sinar.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Rahmat Othman berkata, antara kandungan beg tersebut ialah 96 gram heroin, 11 gram sya­bu, 70 pil yaba dan 20 pil erimin 5 yang dianggarkan untuk kegunaan kira-kira 100 orang penagih.

“Selain dadah yang dianggarkan bernilai RM23,000, polis turut menemui dompet milik suspek mengandungi wang tunai RM203, satu alat timbang digital dan dua buah te­lefon bimbit. Kita percaya suspek bergerak seorang diri.
“Bekalan dadah pula dipercayai diambil dari Ulu Tiram, Johor Bahru, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut. Suspek memiliki tiga rekod lampau dadah dan kes di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, kata Rahmat, sebuah lagi serbuan yang dijalankan di Felda Linggiu, dekat sini semalam membawa kepada penangkapan dua lagi suspek pengedar dadah ber­usia 41 dan 47 tahun.
Menurut beliau, serbuan pada pukul 8.30 pagi itu turut me­nemukan pelbagai jenis dadah iaitu heroin seberat 89 gram, syabu (32 gram) dan pil erimin 5 (tiga biji) dipercayai diperoleh dari Kelapa Sawit, Kulaijaya.
“Nilai dadah dalam pasaran RM38,000 dan bekalan boleh menampung sehingga 70 orang. Kedua-dua kes berkenaan tiada kaitan antara satu sama lain namun kita percaya kesemua dadah itu adalah untuk pasaran tem­patan,” katanya.