Dalam kejadian pukul 1.45 petang pada 13 Mei lalu itu, empat penjenayah yang menaiki dua kenderaan masing-masing sebuah van dan kereta melarikan diri ke arah Segamat selepas merompak sebuah rumah di Kampung Serom 3, Sungai Mati, dekat sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak berkata, bagaimanapun sekatan jalan raya di Jalan Sagil-Segamat di hadapan Kompleks Peng­hulu Mukim Sagil mengejutkan tiga pe­rompak yang menaiki kenderaan jenis Naza Citra itu.
“Kenderaan itu cuba berpatah balik pada jarak kira-kira 50 meter dari sekatan jalan raya. Bahagian depan kenderaan itu remuk namun ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berusia 33 dan dua lagi masing-masing berusia 34 tahun selamat.
“Seorang daripada lelaki itu me­larikan diri ke dalam belukar berhampiran namun berjaya diberkas kira-kira 15 meter dari lokasi van tersebut terbabas. Seorang lagi suspek yang menaiki kenderaan lain melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini hari ini.
Menurut Mohamad Salleh, siasatan polis menemukan dua bilah parang, tiga kuku kambing, tiga telefon bimbit, tiga penutup mulut, enam pasang sarung tangan, tiga topi, dua pemutar skru dan wang tunai berjumlah RM1,300.
Jelas beliau, sebelum kejadian, keempat-empat lelaki berkenaan yang memakai topeng mulut, merompak penuntut wanita sebuah universiti berusia 25 tahun di sebuah rumah di Serom 3 dan me­larikan telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM1,300.
Katanya, suspek berusia 33 dan 34 tahun itu berasal dari Georgetown, Pulau Pinang manakala seorang lagi yang berusia 34 tahun dari Segamat. Penjenayah keempat pula sedang diburu.