CHESHIRE – BRITAIN. [VIDEOSeorang jurutera sebuah syarikat penerbangan membunuh diri selepas mendakwa dirinya bertanggungjawab di atas insiden kemalangan pesawat AirAsia QZ8501yang mengorbankan 162 penumpang  tahun lalu.

Sebelum ini, Gavin Price Jones yang berasal dari Cheshire pernah berbual dengan rakannya dan memberitahu hasratnya untuk membunuh diri kurang sebulan lalu.

Jones dikatakan mengambil keputusan tersebut selepas tidak berhenti menyalahkan dirinya sendiri di atas kemalangan yang terjadi ke atas pesawat QZ8501.

Isterinya, Louise memberitahu, sebelum ini, Jones pernah meluahkan bahawa dia sepatutnya dipertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

Selepas kemalangan tersebut, Jones dikatakan mula mengalami kemurungan.

“Kami semua (keluarga dan rakan-rakan) cuba yakinkan dia (Jones) bahawa dia bukan individu yang patut dipersalahkan, tetapi gagal.

“Dia fikir apa yang terjadi ke atas pesawat tersebut adalah salah dia kerana dia bekerja mengendalikan pesawat tersebut. Itu membuatkan dia jadi gila,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal Metro.co.uk.

Menurut Louise lagi, dia sudah mencuba pelbagai cara untuk meyakinkan Jones bahawa suaminya itu tidak bersalah di atas apa yang menimpa pesawat terbabit.

“Saya sudah cakap berulang kali padanya bahawa dia tidak bersalah. Saya juga turut melukis segala prosedur teknikal untuk jelaskan apa yang terjadi.

“Malah saya aturkan pertemuan dengan ketua keselamatan pekerja yang turut meyakinkan dia bahawa dia tidak boleh dipersalahkan atas apa yang terjadi, namun cubaan tersebut juga gagal,” katanya lagi.

Jones dikatakan tidak terlibat langsung dengan kemalangan tersebut namun dia percaya bahawa kemalangan yang berlaku disebabkan kecuaian oleh dirinya sendiri.

Pesawat AirAsia QZ8501 dilaporkan hilang dalam perjalanan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura pada 28 Disember tahun lalu setelah  dilaporkan terputus perhubungan dengan pusat kawalan udara.

Pesawat itu dilaporkan berangkat dari Surabaya pada jam 5.20 pagi dan dijangka tiba di Singapura pada jam 8.30 pagi waktu tempatan sebelum pesawat itu terhempas di Laut Jawa.