Search This Blog

Tuesday, May 5, 2015

Suspek lepas tembakan di pameran karikatur Nabi dalam senarai FBI

SELASA, 5 MEI 2015 @ 2:38 PM

AHLI penyiasat FBI sedang melakukan siasatan di luar Curtis Culwell Center di Garland, Texas hari ini. - Foto AFP

WASHINGTON: Elton Simpson, salah seorang lelaki yang melepaskan tembakan di luar sebuah tempat pameran kartun Nabi Muhammad di Texas semalam berada dalam senarai siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sejak 2006. Memetik kenyataan pegawai FBI, Simpson berada dalam senarai FBI kerana pembabitannya dalam perjuangan jihad dan pernah ditangkap pada tahun 2010, sehari sebelum dia merancang untuk ke Afrika Selatan. "Tetapi setelah direkod percakapan selama 1,500 jam, dia gagal didakwa dan hanya menerima satu tuduhan kecil membohongi ejen persekutuan. "Maklumat yang diperoleh menunjukkan Simpson selalu bercakap mengenai perjuangan jihad, keganasan dan rancangannya untuk ke Afrika Selatan dan bergabung dengan pemberontak di Somalia," katanya. Semalam polis Texas menembak mati dua lelaki yang cuba memasuki dan melepaskan tembakan di luar sebuah tempat pameran kartun Nabi Muhammad yang dianjurkan oleh satu kumpulan anti-Islam. Identiti kedua lelaki itu telah dikenal pasti sebagai Elton Simpson dan Nadir Soofi. Dalam kejadian itu, mereka melepaskan tembakan kepada pegawai keselamatan tidak bersenjata berpangkalan di luar kawasan pameran. Serangan itu dipercayai atas tindakan balas terhadap kumpulan anti-Islam itu mengadakan pameran kartun Nabi Muhammad. Sementara itu Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Jeh Johnson, dalam satu kenyataan menyatakan pihak berkuasa sedang menyiasat motif mereka dan juga mengenai pameran itu. "Masih tiada maklumat lengkap mengenai motif sebenar mereka. "Tapi serangan semalam menjadi satu peringatan kepada semua. Tidak kira di mana anda berada, jangan lakukan sesuatu yang boleh mengundang kepada keganasan," katanya. - AP

No comments:

Post a Comment