Dalam serbuan tersebut wanita berusia 37 tahun dan mempunyai dua anak berusia setahun dan lima bulan itu ditahan di rumahnya ketika sedang tidur bersama suami dan anak-anaknya.
Malah sebelum dibawa ke pusat tahanan sementara, wanita berkenaan turut meminta izin untuk menyusukan anaknya yang berusia lima bulan di dalam bilik.
Hasil saringan awal air kencing di pusat tahanan sementara juga mendapati ibu dua anak berkenaan positif dadah dan akan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut untuk tindakan lanjut.
Op Sayang yang melibatkan 80 anggota daripada AADK, polis dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) dilakukan di sekitar daerah ini bermula pukul 1 pagi hingga 6 pagi ini.
Operasi yang memberi tumpuan di kawasan kelabu sekitar Jerantut itu turut disertai oleh Pengarah AADK Negeri, Abdul Ghani Abdul Rahman.
Menurut Abdul Ghani seramai 44 orang yang berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun termasuk dua wanita ditahan dalam operasi bersepadu berkenaan.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 35 orang disyaki penagih dadah dan sembilan orang lagi ditahan kerana melanggar syarat pengawasan AADK.
“Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut kesalahan masing-masing dan yang didapati mengedar akan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Kesimpulannya saya sangat berpuas hati dengan operasi yang dilakukan kerana hampir separuh daripada suspek yang telah dikenal pasti berjaya ditahan dan kita juga bersyukur kerana tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.