Search This Blog

Tuesday, May 26, 2015

Suami isteri maut


HARIS FADILAH AHMAD  |  26 Mei 2015 1:53 AM




LIPIS 25 Mei - Perjalanan pulang ke kampung sepasang suami isteri bersama anak mereka di Felda Kechau Satu di sini bertukar tragedi apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton di Kilometer 50, Jalan Lipis-Merapoh, berdekatan Kampung Dada Kering di sini petang semalam.
Nahas pukul 5.15 petang itu menyebabkan Roslan Abd. Wahid, 36, dan isterinya, Siti Zubaidah Mat Yusof, 32, maut di tempat kejadian.
Sementara anak mereka, Mohd. Shahrul, 12, patah tangan kiri dan mengalami pendarahan di kepala sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas), Temerloh untuk rawatan lanjut.
Roslan yang juga seorang Pegawai Pemasaran Felda Plantation di Chegar Perah dan isteri dalam perjalanan menghantar Mohd. Shahrul ke Felda Kechau Satu sambil menziarahi bapa mentuanya.
Ketua Polis Lipis, Superinten­den Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berpunca daripada Mitsubishi Triton dari arah Lembah Klang ke Kelantan hilang kawalan ketika mendaki bukit lalu bertembung dengan Proton Wira yang dipandu oleh Roslan dari arah Felda Chegar Perah ke Lipis.
“Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu wanita berusia 31 tahun dan membawa seorang lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai sudah memotong beberapa buah kenderaan lain di garisan berkembar sebelum hilang kawalan ketika mendaki bukit.
“Akibat itu, Mitsubishi Triton bertembung dengan kereta Proton Wira yang menuruni laluan berbukit dan kemudiannya terbalik.
“Kereta yang dipandu mangsa terperosok di bawah kenderaan pacuan empat roda itu sehingga menyebabkan pasangan berkenaan cedera teruk dan maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Abdul Razak berkata, ketika kejadian, cuaca elok dan kering manakala laluan berkenaan bergaris kembar selain dipenuhi kenderaan yang dalam perjalanan dari Lembah Klang ke Kelantan.
“Pemandu Mitsubishi Triton dan pasangannya cedera patah paha dan dikejarkan ke Hospital Lipis. Mereka kini dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Kota Bharu, Kelantan untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di talian 09-3122222 untuk membantu siasatan.
Menurutnya, jenazah Roslan dituntut ahli keluarganya hari ini untuk dikebumikan di kampung­nya di Sungkai, Perak manakala Siti Zubaidah dikebumikan di kampung keluarganya di Felda Kechau Satu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/suami-isteri-maut-1.95951#sthash.9KczmR5f.dpuf

No comments:

Post a Comment