Tangkapan yang dilakukan pada pukul 4.40 petang terhadap suspek berusia 43 tahun itu susulan daripada risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 35 peket dadah jenis heroin seberat 7.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM374,000.
Katanya, pemeriksaan di rumah tersebut juga menemukan senjata api jenis Revolver .83 yang disorok di bahagian dapur.
“Siasatan mendapati suspek merupakan ahli kumpulan kongsi gelap Devan. Lelaki ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak sembilan bulan lalu.
“Modus operandi suspek adalah membungkus dadah dalam peket kecil sebelum menjualnya dengan harga RM50 setiap gram,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan di rumah lelaki itu menemukan dua buah Proton Waja yang dilaporkan hilang tahun lalu.
“Kita percaya, senjata api yang ditemukan itu telah digunakan sebelum ini ekoran penemuan 17 butir peluru hidup bersama tiga kelongsong dalam senjata itu,” katanya.
Tambahnya, siasatan rapi akan dijalankan terhadap senjata ber­kenaan yang mungkin digunakan dalam jenayah lain.
“Kita turut menyita sebuah Toyota Hilux dan sebuah motosikal Yamaha 135 LC milik suspek.
“Suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan Seksyen 325, 326 dan 394 Kanun Keseksaan kini ditahan reman sehingga 14 Mei ini,” ujarnya.