KUALA TERENGGANU - Dua ekor ibu ayam milik seorang pesara ditelan seekor ular sawa batik dalam kejadian di Kampung Bukit, di sini, pagi semalam.

Kejadian hanya disedari kira-kira jam 8 pagi ketika Mohd Nor Musa, 63, cuba menjengah reban ayam di belakang rumahnya untuk melihat kedua-dua ibu ayam berkenaan sama ada sudah menetas ataupun tidak.

“Setibanya di depan reban, saya agak terkejut kerana mendapati kedua-dua ibu ayam ‘baka baik’ ini sudah tiada di tempat mengeram manakala telur yang hendak dieram pula bertaburan di tanah.

“Bila diperiksa, saya tergamam seketika setelah terserempak dengan seekor ular sawa batik yang kekenyangan berada di tepi pagar reban,” katanya.

Mohd Nor berkata, meskipun agak panik, namun dia memberanikan diri mengambil sebilah lembing yang ada di rumah sebelum membaling ke arah ular sepanjang kira-kira tiga meter dan berat lebih kurang 20 kilogram (kg) itu.

“Saya bernasib baik kerana lembing yang dibaling tepat kena pada bahagian mulut ular itu menyebabkannya tak dapat bergerak, lebih-lebih lagi dalam keadaan kekenyangan selepas menelan dua ekor ayam yang masing-masing berat lebih kurang dua kilogram,”  katanya.