MARANG - Seorang suri rumah juga merupakan isteri kepada seorang guru mendakwa mengalami kerugian lebih kurang RM3,000 selepas rumah mereka di Taman Rashidah/Medan Rhu, di sini, dipecah masuk pencuri, pagi kelmarin.

Kejadian hanya disedari apabila ibu lima anak itu yang pulang dari pasar, tiba di rumah lebih kurang jam 8.30 pagi bersama anak bongsu berusia 4 tahun, dan melihat kelibat seseorang berada di dalam rumah.

“Saya terkejut dan terus membunyikan hon untuk menarik perhatian jiran. Bunyi hon itu juga menyebabkan dua lelaki keluar dari rumah dan terus melarikan diri,” katanya yang enggan mendedahkan identitinya.

Menurutnya, selepas mendapati dua lelaki terbabit sudah beredar, dia kemudian memberanikan diri keluar dari kenderaan dan mendapati cermin pintu gelongsor pecah, manakala keadaan dalam rumah pula berselerak.

“Pencuri hanya sempat melarikan dua telefon bimbit milik anak saya. Mungkin mereka terkejut kerana saya pulang ke rumah ketika mereka sedang menggeledah ruang tamu dan setiap bilik.

“Mereka (pencuri) juga meletakkan beberapa barang seperti ‘tablet’, tabung duit, jam tangan (anak) dan khemah dalam sebuah beg sandang, namun tidak sempat melarikan beg itu, sebaliknya ditinggalkan di atas tangga dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, pencuri terbabit turut meninggalkan sebilah senjata tajam dipercayai digunakan untuk membuka pintu gelongsor termasuk sarung tangan, malah terdapat kesan darah di lantai rumah dipercayai darah pencuri terbabit.

Katanya lagi, pencuri terbabit berkemungkinan tercedera akibat terkena serpihan kaca ketika memecah atau melarikan diri melalui pintu gelongsor yang telah dipecahkan untuk memasuki rumah.

Sehubungan itu, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada JKKK Taman Rashidah/Medan Rhu sebelum membuat laporan di Balai Polis Marang.

Pengerusi JKKK Taman Rashidah/Medan Rhu, Abd Rahman Ariffin, 55, semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Kita harap polis mengadakan rondaan dengan lebih kerap kerana kes kecurian kerap berlaku dan perkembangan negatif itu perlu ditangani segera dengan kerjasama semua termasuk penduduk,” katanya.