MANILA - FILIPINA. Ribuan penduduk Filipina terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri selepas taufan dijangka membadai kepulauan negara itu, semalam, menurut pegawai bantuan bencana.

Menurut laporan dpa, Taufan Noul membawa angin berterusan pada kelajuan 185 kilometer sejam (km/j) dan bertiup kencang sehingga 220 km/j ketika ia bergerak ke arah pantai timur laut Filipina.

"Ia bergerak di barat laut 20km/j dan akan membawa hujan lebat ke atas lebih 12 wilayah," menurut kenyataan biro cuaca.
Difahamkan, pihak berkuasa telah memindahkan lebih 1,200 orang di bahagian timur laut pulau Luzon, kurang 24 jam sebelum taufan kuat dijangka membadai kawasan itu.