NEW DELHI - INDIA. Dua orang pengendali kargo dimasukkan ke hospital selepas kebocoran bahan radiokatif daripada satu konsainan perubatan dikesan di kawasan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di sini hari ini.

Tidak ada maklumat lanjut mengenai pekerja terbabit tetapi Menteri Dalam Negeri, Rajnath Singh berkata, kebocoran itu dapat dikawal.

Rajnath berkata, tidak perlu panik berhubung kejadian itu dan ia tidak menjejaskan operasi lapangan terbang.

Laporan awal menyatakan konsainan sodium iodin dari Turki dibawa masuk untuk Hospital Fortis, sebuah hospital swasta di sini.

Menurut para pegawai, hospital berkenaan memesan bahan berkenaan untuk tujuan rawatan kanser.  

Menurut para pegawai, kebocoran berkenaan adalah kecil dan membabitkan kawasan kecil di kompleks kargo dan konsainan tersebut sudah diasingkan oleh petugas Pasukan Respons Bencana Kebangsaan (NDRF).

Para pegawai berkata, kebocoran itu dikesan selepas kedua-dua pekerja memungah kargo itu dari pesawat Turkish Airline.

Difahamkan bungkusan penghantarannya basah dan pekerja terbabit memutuskan untuk mendapatkan rawatan selepas mata mereka berair.

Pesawat yang membawa konsainan ke Delhi dari Istanbul telah diasingkan sementara syarikat penerbangan dan kargo menyiasat bagaimana kebocoran itu terjadi.

Rajnath dipetik oleh stesen televisyen NDTV sebagai berkata, "pasukan tenaga atom juga sudah sampai. Kami baru sahaja mendapat maklumat bahawa kebocoran radioaktif dapat dihentikan." – Bernama