PEGAWAI dan anggota polis mengusung mayat seorang lelaki yang dipercayai anggota kongsi gelap Sio Sam Ong yang ditembak mati di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. Utusan/Sazali Che Din
BUKIT MERTAJAM 21 Mei – Polis menembak mati seorang anggota kongsi gelap Sio Sam Ong beberapa jam selepas dia membunuh rakannya dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan G7 di Taman Sri Rambai, dekat sini awal pagi ini.
Lelaki berusia 40 tahun itu ditembak setelah dia melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis ketika bersembunyi di sebuah depoh minyak kira-kira 500 meter dari pusat hiburan berkenaan pada pukul 5.35 pagi.
Polis enggan memberi identiti suspek sementara mangsa yang maut ialah Cheah Kwong Hoay, 30.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian pukul 2.30 pagi, suspek yang menaiki sebuah kereta telah memasuki pusat hiburan berkenaan.
Beliau berkata, suspek kemudian keluar dari pusat hiburan itu bersama-sama mangsa dan berlaku pergaduhan.
Ujarnya, dalam pergaduhan itu, suspek yang bersenjatakan pistol semi automatik telah melepaskan lima das tembakan dan tiga das mengenai dada kiri serta perut mangsa.
“Selepas itu suspek melarikan diri dan bersembunyi di sebuah depoh minyak berhampiran. Sepasukan anggota polis yang mendapat maklumat telah mengepung depoh berkenaan pada pukul 4 pagi.
“Suspek maut semasa berbalas tembak dengan polis,” katanya di tempat kejadian di sini hari ini.
Abdul Rahim memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek bergaduh dengan mangsa kerana dadah.
Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek yang baru keluar dari Penjara Taiping dua bulan lalu mempunyai tiga rekod jenayah termasuk bunuh manakala mangsa pula mempunyai tiga rekod kesalahan berkaitan dadah.
Tambahnya, setakat ini, polis menyelesaikan tiga kes tembak di negeri ini termasuk dua kes pada 12 dan 13 Mei lalu masing-masing di Mak Mandin serta di Jalan Kubur di Butterworth.
No comments:
Post a Comment