BEGINILAH keadaan pergelangan tangan murid yang didakwa menjadi mangsa dera seorang guru di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, buat masa ini pihaknya sedang menunggu arahan daripada pendakwa raya sebelum mengambil keterangan daripada kanak-kanak terbabit untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis juga akan memanggil ibu mangsa dan guru ter­babit bagi mendapatkan maklumat berhubung kejadian sebenar.
“Kita menerima laporan yang dibuat oleh ibu mangsa mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada 11 Mei lalu di Balai Polis Su­ngai Nibong.
“Laporan tersebut mengatakan ibu kepada murid darjah satu berkenaan memaklumkan terdapat kesan lebam pada kedua-dua pergelangan tangan anaknya semasa mengambilnya pulang dari sesi sekolah petang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, gambar kanak-kanak itu dengan tapak dan pergelangan ta­ngannya kemerah-merahan menjadi viral dan mencetuskan kemarahan selepas dimuat naik ke laman sosial.
Difahamkan kanak-kanak itu merupakan murid hiperaktif dan memerlukan pemantauan rapi.
Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Ke­seksaan.